Pages

Labels

Wednesday, July 12, 2006

Cerpen: Jasad Yang Mati

Oleh: Kay J

Aku terlihat, dari redup pandangan itu tersembunyi takungan air di kolam matanya. Daun pintu terbuka. Terpacul wajah seorang ibu. Tubuhnya kelihatan lemah tak bermaya. Dia melabuhkan punggungnya di birai katilku. Aku hanya memandang sayu. Tangannya mengusap-usap cadar yang terbentang di pembaringanku. Lantas membaringkan diri mengiring ke kiri. Bangkit semula dan memerhati bantal pengalas tika aku tidur. Sejernih air turun membasahi pipi gebu seorang ibu, tampak agak berkerut, namun masih cantik di pandangan mataku. Ibu sungguh cantik biarpun sudah berumur. Meja belajarku sasaran seterusnya. Aku masih terus memerhati sandiwara seorang ibu kehilangan anaknya. Ibu duduk di kerusi berhampiran.

Aku rebahkan badan di atas katil. Selesa rasanya berbanding liang lahad yang sempit tanpa peneman. Aku meniarap memerhati ibu. Di atas meja belajarku terdapat sepucuk surat berwarna biru. Aku perhati tingkah ibu yang hanya memandang tepat ke arah sampul itu. Gapailah ia ibu. Bukalah warkah itu. Aku juga ingin tahu isinya. Ambillah. Tiada siapa di sini, hanya ibu yang di sayangi. Seolah-olah dengar akan sahutan bibirku melafazkan pujukan pada sang ibu, lantas mengambil surat tersebut. Di hadapannya tertulis ‘IBU’. Aku tersenyum. Bukalah segera ibu, bukalah. Penuh berhati bersama gemalai jarinya membuka kepingan warkah biru untuknya. Aku terus memandang mata ibu, sungguh sayu.

Dalam hati si ibu, membaca setiap kata-kata yang tertera.

Duhai ibuku sayang. 

Assalamualaikum pembuka bicara. Jika kau membaca surat ini, benarlah kasih itu sukar di tampakkan dari rupa, bicara atau perlakuan. Namun, kasih dan cintamu sering tersembunyi di ruang hati itu. Aku terdengar.. terdengar degupan jantungmu ibu. Jika surat ini tidak sampai di tangan seorang wanita yang membuaiku ketika kecil, nescaya punahlah harapanku merobek segala isi badanku. Terbukti, kau tiada pernah mencurah sedikit kasih pun buat diriku.

Tiada pernah niat untuk aku melukakan hati seorang ibu. Tiada juga pernah aku berdendam apatah lagi menghancurkan kebahagiaan seorang penyeri hidupku. Benar, inilah yang aku pendamkan bertahun-tahun lamanya. Aku tercari-cari insan untuk di dampingi, untuk di curahkan, untuk di kongsi kata hati, untuk merasa dakapan mesra, untuk.. ahh terlalu banyak perasaan ini inginkan darimu. Aku terlalu gersang merasa dakapan hangat seorang emak. Aku terlalu haus mendengar pujuk bicara manis seorang ummi. Aku terlalu kering menagih belaian mesra dan pemberi semangat mengharung onak kehidupan, dari seorang insan bergelar IBU.

Tidak pernah aku lupa. Tangan yang tidak pernah meninggalkan tubuh ini keseorangan, terlantar di luar rumah bersendiri kerna MUNGKIN kau sudah jemu menggenggam tubuh mugil ini. Sebulan sebelum hari kelahiranku yang ke 10, kau telah menyambut hari jadi abang Malek dengan mesra dan mewah sekali. Kau hadiahkan abang Malek dengan bermacam jenis permainan. Aku cemburu melihat kemesraan antara ibu dan abangku sendiri berkasih sayang. Namun begitu, aku juga sebenarnya tumpang bahagia juga di samping abang Malek. Tidak jemu abang Malek memberi pelukan buat ibu. Di sudut hati ini, ingin juga memberi dakapan erat dan tidak mahu lepaskan tubuh itu walau sesaat. Sejenak itu, aku pasti ibu akan memberi kejutan yang sama di hari kelahiranku.

Sepagi lagi aku sudah menunjukkan wajah di meja makan. Aku bersiap awal untuk ke sekolah. Hari itu, aku ingin menjadi seorang anak yang baik dan membanggakan hati seorang ibu. Biarpun aku mengerti, sukar untuk aku merasa kemanisan sanubari dari ibu sendiri seperti sahabat-sahabat yang lain, itu bukan penghalangnya. Walau kasih yang kau curahkan berbeza, namun cintaku pada seorang ibu sangat dalam dan terlalu dalam. Biar aku sering rasa terpinggir dari kemesraan seorang ibu, namun sayangku padamu ibu terlalu kuat dan sangat kuat terikat dalam jiwa ini. Bagiku, ibu penyeri hidupku biar jiwaku hakikatnya terseksa menahan getar inginkan kasih yang BELUM kesampaian.

Ayah menghantar ke sekolah seperti biasa. Ayah menghulurkan aku sesuatu, sebuah diary. Sangat cantik di hiasi bunga-bunga di luarnya. “Selamat hari jadi sayang.” Ayah mengucup dahiku. Masihku ingat pesan ayah supaya belajar bersungguh-sungguh bersaing dengan abang Malek. Sejak itu, sebuah tekad tertanam dalam diri. Aku akan tunjukkan pada ibu, aku juga mampu membanggakanmu. Hari itu, masa berlalu agak lambat. Aku seolah-olah sedang berehat dari memperjuangkan masa kehidupan yang sedang di tempuhi. Rupanya aku tidak sabar pulang ke rumah untuk berjumpa dengan ibu. Hari ini hari jadiku. Aku pulang, menumpang seorang kawan. Ingatkah ibu apa yang terjadi?

Berkali-kali pintu di ketuk. Lenguh tangan ini cuba mengetuk lebih kuat agar di dengari oleh ibu. Kering tekak ini memanggil namamu berulang kali. Namun, tiada jawapan terjawab dari dalam. Kerana penat yang amat, aku terduduk dan terbaring di hadapan pintu. Di manakah ibu ketika itu? Lupakah ibu pada hari jadiku? Aku masih runsing memikir di manakah ibu? Air mata bergelinang melepasi pipiku. Aku kesat dengan jari. Hatiku sering berkata, “ ibu baik hati, ibu takkan lupa. Ibu seorang ibu, ibu lahirkan aku, ibu takkan lupa.” Di saat aku sedih, aku lebih suka memujuk hati agar tidak mengalirkan walau setitik air mata. Jika ia jatuh, bermakna aku tidak syukur pada kehadiran seorang ibu yang membesarkanku. Entah dari mana fakta itu muncul aku pun tidak pasti. Mungkinkah ibu yang pernah berkata?

Atuk muncul mengejutkanku. Aku masih di luar rumah. Atuk bertanya di manakah ibu dan ayah? Aku hanya mengangkat bahu. Ibu? Di manakah ibu ketika itu? Sehingga kini aku tidak tahu ke mana ibu menghilang hari itu. Aku gusar untuk bertanya. Aku takut hati mulus ibu terhiris dek kata-kata aku. Aku terpaksa pendam sehingga kini. Atuk membuka pintu menggunakan kunci simpanannya. Atuk kata, “ibu kau ni dah gila. Ada ke patut tinggalkan kau kesejukan di luar. Mana pergi entah.” Sebenarnya aku sendiri kurang mengerti kata atuk ketika itu. Kenapa atuk kata ibu gila? Aku sedih kerana atuk berkata ‘kesat’ pada ibu. Ibu tidak gila. Ibuku tidak pernah gila.

Tahukah ibu apa yang aku cari pertama sekali tatkala kaki menjejaki rumah itu? Ya! Hadiah hari jadi dari ibu! Aku mencari-cari. Di dapur, di atas meja makan, di dalam almari, di dalam bilik ibu, di dalam bilikku, di dalam bilik abang Malek.. aku ternampak hadiah pemberian ibu di atas mejanya. Aku tertunduk, istimewanya abang Malek. Aku kembali ke dalam bilik, di atas mejaku hanya ada diary-diary pemberian ayah. Setiap tahun ayah memberiku sebuah diary, tahukah ibu? Sedang ibu tidak pernah luak menggunakan duit untuk aku. Mengapa ibu? Hina sangatkah aku? Aku bersembunyi di sebalik pintu bilik. Aku lihat atuk masih duduk berehat di ruang tamu. Ibu, ayah dan abang Malek masih belum pulang. Aku tertidur.

Suara pergaduhan di ruang tamu lantas mengejutkanku. Terlihat ibu dan atuk bertelingkah sesama sendiri. Aku ingat lagi kata-kata atuk dan ibu..

“Mujur aku datang memulangkan motor suami kau. Kalau tidak, memang mati kesejukan cucu aku tu.”

“Apa sangatlah ada dengan cucu ayah tu. Memang tak ada masa depan budak tu. Belajar pun tak pandai-pandai juga. Entah bila nak pandai. Ni semua jantan tak guna tu punya pasal.”

“Kau pun sama je. Sama-sama tak guna!”

Atuk berlalu pergi. Ibu? Kenapa atuk kata ibu tak guna? Kenapa? Hati aku ketika itu sangat pedih tidak mengerti serangan atuk itu kerana apa? Sehingga kini, aku masih tertanya-tanya siapakah jantan tak guna itu. Mengapa dia yang menjadi mangsa pertelingkahan ibu dan atuk? Keliru aku memikirkannya.

Esok pagi. Cuti sekolah bermula. Aku berlari-lari anak ke arah ibu. Ibu suruh duduk diam-diam dan aku segera duduk. Aku melihat ibu menyediakan juadah pagi. Aku masih memerhati ibu. Ibu membancuh minuman, dan aku memandang tepat pada mata itu. Tidak sedikit pun perhatian kau berikan pada diriku. Hidangan telah aku habiskan, minuman telah aku keringkan, mejapun telah aku bersihkan, tetapi hati ini masih berkira-kira, adakah ibu lupa hari jadiku?

Ibu, itu hanya satu cereka lama. Terlalu banyak inginku coretkan. Terlalu banyak inginku katakan. Terlalu banyak kisah silam selama 18 tahun di muka bumi ini mencuri kebahagiaanku. Satu hari aku jatuh pengsan, tahukah ibu? Ketika aku menghadiri majlis penyampaian hadiah dan sijil untuk pelajar lepasan SPM di sekolahku? Kau tidak dapat hadir kerana urusan penting LAGAKnya. Aku tidak mengerti mengapa ibu tidak pernah ingin mendampingiku. Seingkali atuk dan ayah sebagai peneman ke sana ke mari. Rebahnya diri ini tersedar berada di hospital. Atuk di sebelah kiri dan ayah di sebelah kanan bersamaku tika mata mula celik dari pembaringan. Di manakah ibu? Pertanyaan yang terpacul dari bibir segera. Ayah memberitahu sesuatu. Barah otak. Serius dan teruk. Diamkan. Usah di hebahkan pada ibu. Usah di hebahkan pada dunia. Biarlah kita hidup dalam satu alam bersama.

Ibu, nyawaku semakin pendek. Benarlah kata-kata ibu, aku tidak punya masa depan. Masa depan aku di temani lahad dan makhluk-makhluk di baqa’. Masa depanku bukan di dunia, masa depanku tidak bersamamu ibu. 18 tahun sudah cukup aku menderita. Biar aku tersenyum, biar aku riang ria, biar aku ketawa, biarlah aku gembira, hakikatnya aku kekurangan sesuatu yang selama ini aku idamkan duhai ibu. Sering aku bertanya, mengapa SATU ini amat sukar untuk aku miliki dan perolehi. Aku terseksa ibu. Untuk mendapat sayangmu umpama menyeberangi lautan api yang amat sakit untuk capai destinasinya. Dan aku, mati di tengah lautan. Kasih itu akhirnya tidak dapat juga aku kecapi. Ibu, mengapa begini ibu? Hina sangatkah aku di mata ibu? Andai kata benar aku sehina binatang-binatang di luar sana, apakah alasannya ibu? Adakah dosaku terlalu besar tidak tertanggung olehmu menyebabkan kau terpaksa menyeksa batinku?

Ibu, suatu hari nanti, selaklah helaian-helaian diari pemberian ayah. Akan ibu tahu perasaanku selama 18 tahun hidup di bawah naunganmu. Hidup yang penuh tanda tanya. Percayalah ibu, biar kau rejam aku dengan batu-batu api, aku tetap sayang dan kasih padamu. Tanpa dirimu, tiadalah jasad yang mampu roh ini bawa sepanjang 18 tahun dan tertimbus selamat di dalam liang lahad ini. Kau menyuapkan aku rezeki, kau memberi aku semangat, kau mengajar aku usaha, sedarkah dikau? Segalanya terdidik di sebalik sayang yang tidak pernah aku sedar. Ibu, aku sayang padamu. Dalam seberapa minit mahupun saat, jantung ini pasti terhenti kembalikan rohnya pada yang Maha Pencipta semula. Warkah ini, aku amanahkan pada seseorang. Moga ibu bahagia di dunia dan di akhirat.

Anak ibu,
Maisara Abdullah.

Ibu menangis. Sebak aku lihat. Ibu menggapai sebuah diary yang tersusun di rak-rak buku kepunyaanku. Hatta, muncul seseorang yang aku sangat kenali iaitu encik Loqman, diary tadi terlepas dari tangan ibu. Ah, diary kesayanganku jatuh. Encik Loqman adalah guru Bahasa Malaysia aku di sekolah menengah. Dia agak baik juga padaku. Tidak mengerti aku pada semua ini. Aku sudah mati! Mengapa perlu ada sandiwara selepas pemergianku?

“Maafkan saya. Terima kasih kerana menjaga anak saya dengan baik. Saya dapat lihat cahaya kegembiraan dari raut wajahnya. Saya tahu dia bahagia di samping awak.”

Ibu hanya memandang sinis ke arah cikgu Loqman. Siapa anak dia? Ibu berdiri sambil memandang pada atuk. Atuk hilang pula dari permukaan pintu.

“Awak tidak tahu apa-apa. Awak tidak kenal siapa dia. Awak tidak pernah faham dia mahupun saya. Dia bahagia? Mungkin dia pandai mengulangi drama yang sama di hadapan manusia, saya juga tertipu. Tetapi, drama dia berakhir dengan sebuah luka berparut dalam jiwa saya.” Ibu berlalu pergi. Aku masih kaget tidak mengerti. Siapakah dia? tubuh ibu terhenti dan menoleh kea rah cikgu Loqman.

“Oh.. mengertilah, dia bukan anak awak. Dia tiada ayah. Dia tidak pernah kenal ayah sebenarnya. Benih dosa kita telah menyeksa hidupnya. Maisarah insan istimewa. Baru sebentar tadi saya mengenalinya, walaupun jasad itu sudahpun di kafankan bersih.” Sambung ibu pergi menghilang membawa bayang-bayangnya. Ayah? Cikgu Loqman? Benih dosa?

Baru aku sedar, aku hanyalah anak haram.

No comments:

 

Blogger news

Blogroll