Pages

Labels

Friday, July 14, 2006

Cerpen: Bukan Permata Palsu

Oleh: Kay J

“Malam ni keluar macam biasa, apa macam?”

“Malam ni tak boleh, saya ada hal lain.” Sahutnya sambil melilau mencari buku di rak berhampiran. Aku hanya menyandarkan tubuh di situ, mataku tidak penat melihatnya sekejap berdiri, sekejap tertunduk menyelak satu persatu buku di rak. Tak ada pula hati ini terdetik untuk membantunya. Aku berlalu pergi dari situ, malas rasanya mengambil tahu hal apakah yang penting sangat sehingga masa dating kami terpaksa di korbankan.

Di suatu sudut berhampiran tingkap, aku kembali duduk. Barang-barang telah lama berehat di situ. Milik Safiyah juga ada di situ. Sejak belakangan ini, jarang sangat kami keluar bersama. Belajar bersama juga jarang berdua, katanya lebih selesa belajar di dalam bilik. Ah, entah bila saja moodnya berubah, tidak selesakah belajar dengan aku?

“Idris, ini bukunya. Penat saya cari, jumpa juga akhirnya.” Buku Accounting setebal Yellow Pages di hulurkan padaku. Aku mengambil dan menyelak muka surat pertama untuk memastikan topik yang aku kurang faham ada di cetakkan bersama.

“Hendak ke mana?” Soalku tatkala sedari barangnya di kemas-kemas, segala macam alat tulis di masukkan ke dalam begnya semula. Keseoranganlah aku jawabnya di sini.

“Saya nak pulang. Esokkan ada test. Saya nak revise di bilik.”

“Kenapa tidak di sini saja? Kalau ada masalah apa-apa, mudahlah kita berkongsi pendapat dan menyelesaikannya bersama.”

“Kalau awak ada masalah, tak faham, atau tak boleh buat, awak telefon saya okey? Saya pergi dulu.” Tidak sempat aku mencari alasan lain, dia sudah beredar. Suaranya seakan menarik perhatian pelajar-pelajar yang sibuk mentelaah di meja berhampiran. Maklum sajalah, bila peperiksaan ingin menziarah, penyambutnya adalah paling ramai di perpustakaan. Tangan kiri Saf melambai-lambai ke arahku, tangan kanannya pula kemas merangkul beg belajarnya. Senyumannya tetap manis. Tidak ada tanda kecewa, atau girang kerana meninggalkan aku. Yang pasti, dia tampak norma dan biasa seperti selalu.

Safiyah, di mana sikap mesra yang pernah kau berikan padaku tidak lama dahulu?


Rindunya, potret di hadapanku ini seakan memberi semangat untuk aku terus bergerak meniti onak kehidupan ini. Gambar seorang lelaki berkemeja biru laut menghias bingkai tersebut. Setiap kali melihat wajah tersebut, aku lebih berani berhadapan dengan segala risiko hidup yang perlu dan bakal di tempuhi pada masa akan datang. Bukanlah mudah untuk memutarkan roda kehidupan 180 darjah sekaligus, apatah lagi tika mengenangkan perubahan ini bakal menempias kekasih yang pernah menambat hati ini, dan masih kini.

“Saf, dah bersiap ke?” Sapaan tersebut benar-benar mengejutkan aku. Mujur jantung ini tidak lemah lagi.
“Saya menyusul kemudian, awak jalan dulu.”

Aku menyiapkan diri untuk ke pertemuan yang di buat oleh Hawa bersama rakan-rakannya. Aku tidak kenal kawan-kawan Hawa, tetapi beriya dia mahu kenalkan aku pada mereka. Ramai kawan-kawannya, dari merata tempat. Tidak macam aku, walaupun sudah hampir tamat tempoh belajar di sini, namun kawan melayu hanya di sekitar aku sahaja. Pastinya dari kalangan yang boleh dilihat hari-hari, dan yang sering kali bersua muka di dalam kuliah atau pun di kawasan universiti. Itupun jika rajin menegur. Jika tidak, memang tak endah langsung.

Sebelum melangkahkan kaki kanan ini, aku melihat lagi potret kesayangan itu. Lelaki yang seringkali memberi semangat, tidak lekang menutur nasihat dan tidak jemu memberi kata perangsang tatkala hati mula goyah. Paling penting, adalah doanya yang tidak sudah-sudah buat diriku di tanah asing ini. Pemergian kekasih hati, bukanlah bermakna dirinya akan berlepas tangan dari tanggungjawab. Ya, ibu telah lama pergi meninggalkan aku dan adik aku. Kami hanya dua beradik barangkali tidak sukar untuk ayah mendidik. Tetapi, dugaan Allah tetap ada di mana saja kita berada. Terima kasih Tuhan kerana memberi aku peluang di bimbing oleh ayah.


“Malam Isnin minggu depan macam mana?” Biasanya, malam Isnin masa yang paling sesuai kami berdua menghabiskan masa bersama. Dia hanya tersenyum. Aku serius, dia bermain dengan mimik muka pula.

“Bukannya saya tak mahu.” Diam. Matanya masih lagi menangkap bait-bait tulisan dari buku rujukan bersaiz kecil di tangan kirinya. Sambil-sambil tangan kanan cekap menulis sesuatu di dalam notanya.

“Awak ada hal lagi? Begitu?”

“Tidak, minggu depan saya lapang.”

“Jadi, apa masalahnya?” Lega aku mendengar jawapan tersebut. Tetapi, ayatnya pada mula bicara lagi sudah buat aku tertanya. Mengapa masih ingin menolak jika tiada aktiviti lain malam itu?

“Awak bayangkanlah nanti, kalau awak ada anak perempuan. Senang tak hati awak lihat anak perempuan awak keluar berduaan di malam hari dengan seorang lelaki yang awak sendiri tak pasti siapa dia?”

“Kalau saya tak kenal, sudah tentulah saya kurang senang. Tetapi kalau saya kenal, apa salahnya.”

“Kawan pun boleh makan kawan.”

“Jadi, awak nak kata yang saya akan menikam awak dari belakang? Begitu?” Dia tergelak mendengar telahanku. Tenang saja bersemuka dengan pandangan remeh aku. Barangkali aku sahaja yang tidak senang dengan kata-katanya.

“Mestilah tidak. Saya percaya awak.” Macam-macam. Aku masih tidak faham. Isu apa yang ingin di ketengahkan. “Ayah saya kenal awak ke?” Alamak, mestilah tidak. Aku hanya tersenyum sumbing melihatnya. “Mungkin kita tak nampak sesuatu, tetapi dari jauh ada orang sedang menaburkan fitnah dari mulut ke mulut. Bukan itu saja, di dalam hati pun manusia akan bersyakwasangka. Tak eloklah untuk imej Islam.”

“Kalau kita dah berkahwin pun, bukannya orang lain tahu. Boleh juga fitnah berlaku.”

“Jika sudah berumahtangga, tidak ada masalah. Menebarkan fitnah itu masalah mereka. Tetapi jika kita belum berkahwin, kita yang menjadi punca fitnah tersebut kerana kita tidak ada hubungan apa-apa seperti yang Islam gariskan. Pokoknya, mengapa perlu lakukan jika Allah kata jangan?” Aduhai, gadis ini sudah pandai bicara soal Islam. Tak betah aku persoalkan lagi kerana memang benar apa yang di sebutkan. Zaki juga pernah memesan hal yang sama pada aku. Namun butir-butir itu hanya jatuh menyentuh bumi, tidak dikit pun tersangkut ke dalam hatiku.

“Saf, jom kita pulang?” Perbualan kami terbantut setakat itu sahaja. Hawa telah kembali setelah lama membantu rakan seperjuangan di meja sebelah. Pun begitu, kehadirannya hanya bertujuan menjemput Safiyah pulang bersamanya.


Bukanlah aku ingin berpaling tadah dari cinta yang dia berikan, tetapi rasanya amat payah untuk seimbangkan kehendak nafsu dan kehendak hati. Aku tidak kata dia tidak layak langsung untukku, tetapi itu semua di tangan Allah untuk menentukan jodoh. Aku juga masih lagi merangkak cuba mengenal agama yang telah kita junjung sejak lahir. Sejak merangkak dan bertatih lagi, kita di ajarkan ilmu-ilmu Islam seperti membaca doa sebelum makan, tidur, keluar rumah dan sebagainya. Tetapi, baru aku sedar ilmu tersebut telah lama terumbang-ambik dalam sedar atau tidak selama 23 tahun lamanya. Rupanya picisan ini tidak akan berhenti selagi hayat kita masih bernyawa di atas muka bumi ini. Mengapa agaknya perencah Islam itu tidak memberi kesan pada anak-anak di alam persekolahan? Malahan jiwa aku juga tidak pernah merasa kemanisan sepertimana yang aku rasai ketika duduk bermuzakarah bersama rakan-rakan Hawa.

Aku bersyukur kerana Hawa sudi mendidik dan mengingatkan aku jika ada yang tersilap. Tuhan telah menghantar Hawa kepada aku untuk belajar apa sahaja yang belum pernah aku terfikir selama ini. Barangkali, benarlah kata Hawa bahawa iman tidak akan mendatar atau menaik selagi mana tidak ada sesiapa yang sudi menumpangkan ilmunya untuk di rasai sekalian manusia. Amat rugi jika ilmu yang di perolehi hanya di simpan menjadi pekasam dan akhirnya orang-orang kita bertambah-tambah bengkok mengenai Islam. Wajarlah di hebahkan selagi yang terdaya, dan ini adalah langkah pertama aku dalam menyusul kalimah syahadah yang baru di pelajari beberapa hari yang lepas.


Lidya? Apahal pula dia kemari? Lain orang yang aku tunggu, lain pula yang muncul.

“Abang Idris, sibuk tak malam ni?”

“Kenapa?”

“Lidya ada 2 tiket wayang. Ingat nak pergi dengan Dania, tapi dia terpaksa cancel sebab ada hal katanya. Bolehlah bang.”

“Ajaklah orang lain, saya ada hal lain.” Menyampahnya. Kurang selesa aku dengan sikapnya yang menggedik ni.

“Bolehlah..!” Tangannya segera memegang lengan aku dan menggerak-gerakkannya. Lemas aku. Mujur berlengan panjang.

“Apa pegang-pegang ni. Awak ajaklah Safiyah ke, Hawa ke.”

“Saf makwe abang tu ke? Dan Hawa makwe abang Zaki tu?”

“Agaknya.” Aku segera mencapai beg aku, malas nak melayan.

“Abang Idris, bolehlah. Takkan nak Lidya pergi sendiri? Abang tak kesian ke Lidya keseorangan di sana nanti? Lagipun Lidya tak tahu bila nak cari Saf dengan Hawa tu. Lidya ada kelas kejap lagi.” Betul juga. Serba salah pula aku di buatnya. Aku pun bersetuju tanpa berfikir panjang. Dia terus memeluk leher aku dari belakang. Gatalnya! Safiyah pun tidak pernah memeluk aku. Meremang juga bulu roma di perlakukan begitu. Lidya beredar selepas di halau oleh aku. Halau dengan cara yang baik. Serentak aku tertoleh ke kiri, Saf di situ bersama Hawa dan Zaki. Mereka memerhati aku sambil tergelak-gelak. Saf juga tidak terkecuali. Mesti
mereka perasan, apa pula tanggapan Saf nanti.


“Tak cemburu ke tadi? Sang puteri bak kulit mat salleh di tambah lagi dengan manja dan tergedik-gedik dekat kekasih hati?”

“Tengok muka dia pun saya tahu, dia tak suka. Ya Allah, kenapalah sanggup si Lidya tu memeluk yang bukan muhrim dengannya.”

“Itu bukan cemburu namanya?” Sengaja Hawa mempersoalkannya. Bukannya dia tidak tahu, salah perbuatan itu.

“Saya cemburu kerana dia di uji, bukan sebab dia di peluk begitu. Kalau saya di uji begitu, agaknya dah terikut-ikut dengan nafsu.” Hawa hanya tersenyum melihat aku. Ada riak perli di sudut matanya. Aku cuma tergelak melihat gelagatnya yang cuba membawa aku terus bercerita.

“Awak dengan dia pun, pernah juga agaknya?”

“Tak adalah, saya pernah sentuh tangan saja.” Terkejut juga Hawa, namun masih juga di pujuk wajah itu bertenang. Iyalah, tak pernah pula aku membuka kisah cinta aku dengan Idris pada sesiapa.

“Seronok ke?” Duganya lagi.

“Macam awak sentuh tangan Zaki agaknya.” Aku tergelak sedikit. Bantal di tangannya terkena tepat pada badan aku.

“Kami dah sah, tak apa. Awak tu belum lagi tau. Hati-hati. Awak tahu kan hukumnya?”

“Iya, saya tahu. Rasa menyesal juga sebab tangan ni telah di sentuh. Sebelum bercinta dengan dia, entah berapa ramai lagi lelaki yang bersentuhan tangan dengan saya. Rasa macam kotor. Suami saya nanti cuma sentuh bekas sahaja. Kesiannya.”

“Eh, janganlah fikir jauh sangat. Lepas ni kena bertekad untuk tidak ulangi kesilapan yang sama. Nanti dah kahwin, tak perlulah ungkit lagi soal ni. Takut mengeruhkan suasana rumahtangga pula.”

Aku membaringkan diri. Hawa masih lagi di meja belajarnya membaca buku. Hawa juga baru mendirikan rumah tangga. Zaki juga adalah teman sekuliah kami. Aku, Hawa, Zaki dan Idris adalah teman sekuliah dalam jurusan yang sama. 3 tahun kami dalam jurusan ini. Aku bertemu Idris sama seperti Hawa bertemu Zaki. Bezanya, mereka terus menyambung ikatan selepas tahu isi hati masing-masing. Katanya tidak mahu tunggu dan terus menunggu, takut masing-masing terlalu mengikut nafsu dan lupa daratan. Jadi, itulah penyelesaiannya. Mereka tinggal berasingan kerana lebih selesa begini, apatah lagi keduanya masih menuntut ilmu dan menumpukan pada pelajaran itu sangat penting bagi mereka. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi kami akan habis, dan mereka akan hidup berumahtangga seperti orang lain. Dan aku mendoakan kebahagian mereka kekal sehingga menjejak pintu syurga, moga Allah perkenankan.
Idris bagaimana?


Dari jauh lagi kelihatan 2 insan bertudung sedang berborak dan seorang jejaka sedang asyik membaca surat khabar, pasti itu mereka. Aku berjalan menuju ke arah tersebut dan memberi salam. Zaki lantas menghulurkan tangan dan berjabat dambil bertanya khabar. Sibuk dia menceritakan isu-isu semasa yang berlaku di sekitar United Kingdom dan tidak lupa juga kegaganasan yang berleluasa di daerah Gaza. Kami berempat masing-masing memberi pendapat dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan kejadian yang semakin bermaharajalela menyerang umat Islam di serata dunia. Bukan sahaja di Palestin, bahkan terlalu banyak lagi kawasan yang berkesedudukan dengan nyawa di hujung pedang, tinggal masa sahaja untuk di rampas oleh Israel dan Amerika.

Nescafe yang di order tadi telah sampai, aku menghirup segar. Cuaca sejuk di luar seakan menggamit sehingga kini. Seronok rasanya Nescafe panas ini mengalir di tekak dan memanaskan semula suhu badan yang kian mengecut.

“Hello, may I sit here?” Pamela, seorang pelajar sekuliah dengan kami agak rapat juga dengan Hawa. Dia mengambil tempat di sebelah Hawa dan bertanya khabar dengan Hawa. Zaki juga menumpang sama berbual dengan mereka. Aku terus menghirup Nescafe panas.

“Tempoh hari awak ke mana dengan Lidya?” Eh, mana dia tahu?

“Tak ada ke mana, temankan dia tengok wayang.”

“Berdua saja?” Tidak, kami tidak pergi berdua. Aku sebenarnya telah mengajak Davis bersama dan akhirnya Davis yang menemankan Lidya di panggung. Aku hanya menunggu di luar, memastikan segalanya selamat selepas wayang tamat. Segalanya berjalan dengan baik, Davis mengucapkan terima kasih dan kami menghantar Lidya pulang menaiki kereta Davis.

“Begitulah.” Jawabku acuh tak acuh sambil tersenyum. Safiyah mencubit sedikit kuih di hadapannya dan menyuapkan ke dalam mulut. Wajahnya masih tenang tetapi kurang puas hati dengan jawapan yang aku beri. 

“Cemburu?” Dia mengangkat muka dan tergelak kecil. Aku tersenyum melihat respon tersebut.

“Mungkin. Nasib baik saya bukan isteri awak.”

“Awak juga yang lari daripada saya, bukannya saya sengaja. Tengok, orang lain pula yang rebutkan saya. Melepas awak nanti.” Sengaja aku mengusiknya. Terbatuk-batuk dia mendengar gurauan aku.
Sebiji gelas kaca dari tangan seorang pelayan wanita terlepas dari tangannya secara tiba-tiba, menyentuh lantai café dan berkecai. Semua mata tertumpu pada bunyian yang tidak di pinta itu. Wanita tadi segera mengutip serpihan-serpihan yang terpisah menjadi ratusan itu tadi. Muncul tangan lain membantu, dan Safiyah orangnya. Mereka berbual-bual sambil mengutip serpihan-serpihan tersebut. Aku hanya memandang kemudian beralih pandangan ke luar tingkap, terasa kosong seperti langit biru yang hanya tegar tanpa pergantungan apa-apa.

“Kesian wanita tadi, sudah berumur masih lagi bekerja keras untuk keluarga. Kita ni bertuah, nak menjejak tanah dia hanya perlukan pencapaian yang bagus dalam pelajaran. Tapi, itu pun bergantung pada nasib dan siapa yang Allah pilih. Barangkali yang terpilih itu punya hikmah di sebalik izin-Nya.” Adakah aku juga terpilih atas alasan-alasan tertentu? Aku hanya mengangguk tanda mengerti apa yang di maksudkan. 
Semakin rancak perbualan Hawa dan Pamela, manakala Zaki sedang berbual-bual melalui telefon bimbitnya. Mungkin sedang berbincang mengenai program malam kebudayaan Islamiah hujung bulan nanti, apatah lagi dia salah seorang yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal-hal dalaman.


“Saya masih tidak faham kenapa begini.”

“Begini bagaimana?”

“Awaklah, terhadap saya. Dulu lain, sekarang lain.” Oh, begitu. Nescafe dalam cawan sudah habis. Aku memanggil pelayan wanita tadi dan memintanya supaya menghantar secawan lagi untuk aku, sekeping nota hijau aku hulurkan padanya. Idris hanya menggelengkan kepala, dia kurang senang melihat keghairahan aku terhadap Nescafe.

“Maksud awak, dulu saya garang, sekarang tidak lagi?” Dia tergelak besar. Hawa dan Pamela juga terkejut melihatnya. Zaki turut menepuk bahunya supaya bertenang, nanti lalat masuk lubang mulutnya susah pula jadinya. Aku hanya tergelak kecil dan menutup mulut dengan hujung telapak tangan kananku.

“Awak buat lawak ke ni? Dulu awak garang sangat ke sampai nampak sangat perbezaan dari sudut tu?” Lagi sekali dia menggelengkan kepalanya sambil menghirup Nescafe. Biskut di atas piring di ambil dan mencicah Nescafenya.

“Maafkan saya.” Aku menunduk malu kerana tidak sangka gurauan tersebut mendapat respon begitu.

“Tidak mengapa. Cuma, ada sedikit perbezaan layanan awak sebelum ini dengan sekarang. Apa ubatnya?”

“Nescafe.” Syiling di hulurkan ke tangan, aku mengucapkan terima kasih pada wanita tersebut. Nescafe panas segera ku hirup.

“Nescafe?”

“Nescafe dah sampai.” Diam. Suasana kembali tenang, masing-masing sibuk menghirup Nescafe panas. Tingkap kelihatan kabur kerana suhu menyerang antara satu sama lain. Di luar darjah celcius semakin menurun sedang di dalam hangat terasa walaupun Idris masih bersalut dengan coat hitamnya. Sejuk katanya. “Saya sayang awak.” Aku terus memandang ke luar tingkap, tanpa senyum, tanpa memandang wajahnya. “Kerana Allah, saya ingin bersama dengan awak.” Sekali lagi ku cubit roti yang terhidang di atas pinggan di hadapanku. “Tetapi, bagaimana hubungan ini boleh mendapat barakah atau redha dari Allah kalau kita sentiasa melanggar batas-batas yang Dia susunkan untuk kita? Layakkah kita mendapat tempat di sisi-Nya sedang kita sendiri sering kali terlupa akan suruhan-Nya?” Aku memandang wajahnya, dia tertunduk. Leka jemarinya memegang sudu kecil di dalam kopi dan berputar-putar roti di dalam Nescafenya.

“Jadi, hubungan kita tamat sampai sini?”

“Idris, kita tidak pernah ada hubungan apa-apa. Hubungan di sisi Allah hanya mereka yang sudah di ijab kabulkan dengan sah, atas dasar-dasar yang di tetapkan. Kita akan tetap begini, berkawan dan bersahabat seperti biasanya kita.”

“Bagaimana saya ingin buktikan yang awak akan jadi milik saya?”

“Tak perlu. Allah telah menjanjikan kita dengan pasangan yang selayaknya. Kalau awak yakin kasih awak terhadap saya atas kehendak Allah, maka berdoalah agar permintaan kita di makbulkan.” Dia tertunduk dan menggeleng. Seperti tidak yakin dengan penjelasan aku.

“Kenapa? Kau takut Saf kena rampas dengan aku ke?” Zaki memeluk erat bahu Idris dan tersengih-sengih memandang Hawa yang sibuk berinteraksi dengan Pamela. Hawa cuma membalas jelingan ke arah Zaki.

“Abang Zaki awak ni dah pandai menggatal dengan awak rupanya. Bahaya ni, cepat-cepat masuk minang Idris sebelum permainan kejar-kejar berlaku.” Bisik Hawa spontan sejurus selepas Zaki dan Idris berhenti dari tawa mereka. Aku cuma tersenyum sipu dan segan rasanya di perlakukan begitu.

“Idris, kalau kita bekerja keras untuk agama Allah, tak mustahil Allah akan tolong kita dari segi lain jika kita terus berdoa. Lagipun, tempoh belajar kita hampir tamat. Apa salahnya jika kau dan Saf bersatu selepas tamat belajar nanti? Tak lama saja lagi, mustahil Saf ingin melarikan diri mendekati aku. Sebab masa tu aku dah serumah dengan Hawa, Insya Allah.” Zaki ni, tak habis-habis dengan gurauan dia. Mahu saja aku sorok di bawah meja molek ini.

Pamela berlalu pergi selepas mengucapkan selamat tinggal pada kami. Jam di tangan telah hampir pukul 2.30 petang yang menandakan Asar akan menyinggah tidak lama lagi. Aku melihat Idris, putus harapankah dia pada aku? Sudah tentu aku juga tidak mahu diri aku berakhir dengan orang lain dan bukan dia. Sebab itu sangat penting untuk aku dan dia sama-sama berdoa agar hubungan ini akan di makbulkan kelak.


Aku perlu cuba. Safiyah masih seperti dulu. Layanannya masih sama. Sama seperti sebelum ini, kerana kami kawan. Kawan? Peliknya hubungan sebagai kawan ini. Tidak ada istimewa langsung. Tetapi Zaki pernah memesan bahawa kawan-kawan sebenarnya adalah lebih intim berbanding kekasih. Bersama kawan, kita tidak kekok berkata apa sahaja, sedang menasihati sesame kita juga tidak memberi masalah kerana kita faham yang kita adalah kawan. Lain halnya dengan kekasih, cerewet. Tegur sedikit sudah pandai menarik muka. Berkata yang benar kadang membawa padah, di katanya kita pula tidak menyayangi dia. Runsing aku di buatnya. Benar, Safiyah juga pernah begitu suatu masa dahulu. Dia jugalah yang banyak memeningkan aku, sehinggalah perubahannya berlaku menyebabkan aku kurang memikirkan masalah antara aku dan dia. Benar, terasa kongkongan perhubungan itu semakin tidak banyak walaupun hati aku masih ada rasa sayang tersebut tetapi aku tidak memaksa kerana Safiyah juga tidak pernah menyulitkan hubungan ini. Rupanya, Safiyah bukanlah permata palsu yang suka meniru-tiru perempuan lain bahkan dia suka mencari dan mencuba untuk kebaikan aku dan dia. Dia terlebih dahulu menyedari, dan bukan aku.

Mungkin inilah masanya untuk aku bersama Zaki menjejaki dunia Islam dan merasai apa yang di rasai para sahabat suatu masa dahulu. Pastinya aku yang akan menjadi ketua keluarga untuk membentuk anak-anak menjadi seorang yang faham Islam, dan mereka tidak akan lagi mengulangi kesilapan ayah mereka.


“Cik abang kita berangan?”

“Eh, nak masuk tu berilah salam dulu. Kan lebih elok macam tu?”

“Iyalah-iyalah, Saf keluar dulu dan masuk balik.” Aku keluar dan masuk sambil mengetuk pintu 3 kali beserta ucapan salam.

“Macam itulah isteri solehah. Apa dekat tangan tu?”

“Gambar abang dengan Lidya. Bukan Saf yang ambil tau, Hawa yang ambil gambar ni.”

“Oh, simpan sebab masih ada cemburu tu ya? Sebenarnya abang temankan sampai luar saja.”

“Saf tahu.”

“Bagaimana Saf tahu?”

“Sehari selepas hari tersebut, Saf terserempak dengan Davis dan dia ingin berdiskusi dengan Saf mengenai soalan test Maths. Sambil-sambil menyelesaikan masalah, kami berborak dan dia terkeluar cerita tersebut. Tersenyum kambinglah Saf mendengar cerita dia.”

Idris tergelak mendengar ceritaku dan aku juga turut tersenyum mengimbas cerita dulu. Barangkali itulah perancangan Allah tanpa perlu ada jawapannya kerana Allah pasti membantu kita jika kita membantu-Nya. Namun begitu, tidaklah bermakna aku cemburu buta sampai ke hari ini sehingga gambar tersebut sanggup aku simpan. Tetapi aku terjumpa di dalam sebuah envelope gambar yang sudah berhabuk juga kerana di biar berehat di dalam kotak begitu lamanya.

Sudah hampir 3 tahun kami berumah tangga dan kini aku bahagia di sisi suami tercinta. Moga anak di dalam kandungan bakal menjadi seorang mujahid atau mujahidah seperti yang Idris dan aku inginkan. Dan aku berharap, dosa silam yang telah kami lakukan di hapuskan dari terus menerus kami menanggungnya.

No comments:

 

Blogger news

Blogroll