Petang damai itu, Hazrina mengorak ke luar rumah seorang diri. Ibu kata, bukalah bersama mereka di rumah pak cik Azman. Di sana boleh bertemu dengan ahli-ahli jemaah yang lain. Rasa jarak pertemuan yang terakhir agak lama dahulu. Namun hatinya berkeras untuk mengangkat kaki berkumpul di dalam restoran mewah bersama rakan sejawat.
"Tak apalah ibu, minggu depan masih sempat untuk jumpa. Mereka akan berkumpul kembali bukan?" Hazrina memberi salam dan menutup pintu tanpa sempat mendengar jawapan dari ibu.
Belum pun sempat Hazrina melabuhkan punggung di atas kerusi empuk kereta wira berwarna biru tua itu, telefon bimbit berdering mengenakan ringtone nasyid Balqis dari UNIC.
"Ya? Baru hendak bertolak. Akan sampai dalam beberapa minit, insyaallah." Mati.
Hazrina tidak sabar rasanya untuk berbuka puasa bersama rakan-rakan sejawat. Dia tidak pasti mengapa keinginan itu bertambah-tambah apabila mereka ingin kenalkannya pada seorang jejaka yang bekerja di tempat yang sama, cuma lain jabatan sahaja. Kacakkah dia? Kata hati kecil itu.
Kereta wira itu berhenti di selekoh bangunan tuisyen PMR Jalan Melawati. Niat di hatinya ingin mencari sesuatu sebagai buah tangan kepada rakan-rakan yang lain untuk di nikmati sebagai pencuci mulut di akhir juadah berbuka nanti. Sudah tentu caramel berperisa toffin menjadi kegemarannya untuk di kongsi bersama. Malangnya kedai Trisha Dessert tidak di buka hari itu. Terpaksa menyinggah di kedai buah-buahan berhampiran dan membeli buah anggur berwarna hijau sebagai buah tangan.
"Tak standard sungguh makan buah anggur." Dengusnya. Entah mengapa hatinya semakin hari semakin lupa harga diri yang di beri Tuhan. Apa yang memakan kebaikan hatinya pun tidak siapa yang mengerti. Sepatutnya bulan puasa beginilah nafsu jahat perlu di didik, bahkan syaitan juga tidak mampu untuk membantu.
Di perkarangan Restoran Berlian, Hazrina mencari tempat untuk meletakkan keretanya. Agak penuh. Barangkali ramai yang memilih tempat ini sebagai medan menyental makanan selepas seharian berlapar dan dahaga dari bermacam benda. Dia keluar dari kereta dan menuju ke pintu masuk. Dari jauh sudah kelihatan Linda melambai tangan memanggilnya ke situ.
"Hai, sorry I lambat."
"Tak apa. Jefri dan Steph juga belum tiba lagi. Kenalkan ini Zakrul."
Zakrul menghulurkan tangan. Hazrina ragu-ragu kerana itu tangan lelaki ajnabi. Ah, pedulikan -suara hati. Di sambut tangan tersebut dan memberi senyuman paling manis buat seorang jejaka di hadapannya yang di rasakan cukup kacak di mata kasarnya.
"Hai, sorry kami lambat."
Tangan Jefri menyentuh lembut bahu kiri Hazrina. Terkejut di buatnya. Hatinya berdebar-debar. Terasa kurang selesa dengan suasana campur dan bebas ini. Ah, tidak mengapa. Ini pertama kali dan sudah tentu inilah masanya untuk belajar dunia mereka. Gasak hatinya lagi.
Jefri dan Steph mengambil tempat berhadapan dengan Linda dan Harith. Manakala aku duduk berhadapan dengan Zakrul. Waktu berbuka tiba. Tidak seorangpun cuba membaca doa buka puasa, apatah lagi doa makan sebagai pembuka. Apalah yang pelik sangat agaknya, bukankah itu dunia mereka? Pujuk hati Hazrina langsung menjamah kurma di hadapannya. Malam itu, mereka makan, bergelak tawa, berborak sehingga usainya maghrib untuk hari itu. Dia terlepas solat. Tersedar ketika melihat jam di tangan sudah hampir pada 9 malam. Lama juga mereka berbual kosong, apa yang dia dapat?
Mereka bersurai. Zakrul memimpin tangan Hazrina menuju ke kereta wiranya.
"Mungkin kita boleh keluar lagi di waktu lain?" Tanya Zakrul.
"Boleh, apa salahnya." Jawab Hazrina malu-malu dengan ajakan tersebut. Pipinya berubah merah, kelihatan terang di bawah cahaya bulan.
Tanpa amaran, Zakrul memberi kucupan di pipi. Terkesima. Dia meminta izin untuk pulang. Kereta wira itu bergerak. Zakrul melambai.
Hazrina bagai hilang kawalan. Dia terpukau. Dia mengigau. Dia berkhayal. Dia jatuh cinta? Sedari tadi bibirnya tidak hilang ukiran senyum itu. Entah ke mana mindanya menghilangkan diri. Cahaya putih tiba-tiba muncul di hadapan. Segalanya putih. Putih tanpa hitam. Hazrina tersedar, jantungnya sedang di berhentikan.
Tuhan memberinya peluang untuk bernafas. Hazrina sedang bermimpi di siang hari.
"Aku sangkakan ajal aku sudah tiba." Mukanya pucat. Mulutnya beristighfar.
"Mimpi apa?" Soal Linda sambil menutup al-Qurannya setelah usai di baca.
"Sudah tentu kau tidak mahu mendengarnya."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




No comments:
Post a Comment